Sektor pendidikan Polemik_kedudukan_bahasa_Melayu_di_Malaysia

Dalam sektor pendidikan, isu kedudukan bahasa Melayu paling hangat mendapat liputan dan buah mulut oleh pelbagai pihak bermula dari dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang mana melalui dasar ini, kabinet Malaysia telah menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematiksemua peringkat pendidikan, dengan memulakan langkah perintisnya untuk diajar kepada pelajar Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada tahun persekolahan 2003; namun dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003. Banyak forum, desakan dan demonstrasi seperti Perarakan Keranda Mac 2009 telah berlangsung dengan objektif untuk memastikan dasar PPSMI dimansuhkan secepat mungkin dan mengembalikan hak-hak istimewa bahasa Melayu yang semakin nazak.

Akhirnya, kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan untuk memansuhkan sepenuhnya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2016 bagi sekolah rendah dan 2021 bagi sekolah menengah kerana pelaksanaannya telah terbukti gagal mencapai sasaran yang diinginkan. Maka dasar tersebut diganti dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Prof Dato’ Dr Mohd Yusof Hj Othman Pengarah Institut Hadhari UKM menyifatkan sebagai seorang saintis beliau amat yakin bidang sains dan teknologi perluajar dalam bahasa kebangsaan. Oleh itu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa bagi bidang sains dan teknologi hanya akan membawa padah dan ia akan membuat kesilapan yang sama yang telah dibuat oleh Barat .

Sains Barat tidak mempunyai ruang untuk agama atau kerohanian manakala Islam tidak mengekang perkembangan bidang sains malah telah membantu dalam banyak situasi.Dalam perkembangan lain, Dalam satu wawancara televisyen TV3 dalam program Soal Jawab yang disiarkan kepada umum pada jam 11.00 malam 9 November 2011, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengakui PPSMI yang dijalankan, telah menemui kegagalan dan tidak mencapai hasrat dan dasar kerajaan dalam menggunakan kaedah pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya beliau dilihat lebih berpendirian dalam menegakkan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Walau bagaimanapun dalam wawancara tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menjelaskan secara terperinci kesan dan nasib pelajar lepasan persekolahan yang akan melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi khususnya Malaysia, yang kini rata-rata IPT (baik IPTA dan IPTS) menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium perantara pengajaran dan mengenepikan bahasa Melayu.

Menurut Prof Dr Awang Sariyan yang juga tokoh bahasa dan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan China, berpangkalan di Universiti Pengajian Asing Beijing, China. Universiti Kebangsaan Malaysia dilihat merupakan satu-satunya IPT Malaysia yang telus dalam menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan pembelajaran dalam kebanyakan kursus pengajian yang ditawarkan dalam pelbagai bidang. Ia dapat dibuktikan sehingga tesis peringkat doktor falsafah pun kebanyakannya ditulis dalam bahasa Melayu, sebagai bukti kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu tinggi.

Manakala dalam Akta Pendidikan 1996, jelas menunjukkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) juga masih tetap tertakluk kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama. Namun kini, IPTS dilihat lebih cenderung sepenuhnya mengajar pengajian ilmiah dalam bahasa Inggeris dan menidakkan hak bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah dengan begitu jelas sekali.

Ketetapan mengajarkan tiga mata kuliah teras IPTS, iaitu subjek Bahasa Kebangsaan, Kenegaraan Malaysia dan Pengajian Islam atau Pendidikan Moral tampaknya menjadi dokumen tersurat sahaja kerana kebanyakan IPTS mengabaikan ketetapan itu, kecuali sesetengah IPTS seperti Universiti Multimedia, Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Petronas.[13]

Dalam pelbagai usaha yang dibangunkan untuk mengangkat bahasa Melayu supaya kembali memainkan peranan utamanya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, masih terdapat juga pelbagai lekak lekuk dan ketandusan yang berlaku kerana usaha pemartabatan bahasa Melayu tidak menyeluruh malah hanya tertumpu pada sesuatu bidang atau landasan tertentu. Kekhuatiran terhadap bahasa Melayu jelas mendapat kebimbangan besar daripada pakar, pejuang dan pencinta bahasa Melayu menerusi pelbagai ketetapan yang dimeterai sepanjang sidang Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu sehingga tahun 2011.

Pendirian MAPCO

Pada 1 Mac 2001, Persatuan Kolej-Kolej Swasta Malaysia (MAPCO) telah membuat kenyataan dan berpendirian bahawa kelulusan yang baik dalam Bahasa Melayuperingkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak begitu penting untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Ia disebabkan faktor bahawa kebanyakan program yang dikendalikan oleh IPTS tidak bersifat nasional dan dijalankan dengan kerjasama universiti-universiti luar negara.

Menurut Presiden MAPCO, Datuk Dr. Yahaya Ibrahim, syarat yang paling utama untuk ke IPTS ialah jumlah kredit yang dimilikinya mestilah bersesuaian dengan kursus yang dipohon. Dr. Yahaya mengatakan jika pelajar itu tidak ada kelulusan dalam bahasa Melayu pun tidak apa, kerana yang penting ialah jumlah kredit yang diperoleh pelajar mestilah bersesuaian dengan kursus yang dipohon, ini kerana kebanyakan program yang dijalankanIPTS bukannya program bersifat nasional dan ia tidak memerlukan bahasa Melayu.

Namun begitu pendirian Presiden MAPCO tersebut telah disanggah oleh pensyarah Linguistik, Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan (FSKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Teo Kok Seong. Dr Teo menegaskan kerajaan bukan sahaja perlu mewajibkan pelajar mendapat kepujian (dalam bahasa Melayu), tetapi mestilah menjadikannya sebagai syarat melayakkan pelajar menerima sijil daripada mana-mana IPTS. Tambahan lagi, pelajar perlu menguasai bahasa Melayu secara merentas kurikulum dan bukan sekadar menganggapnya sebagai satu mata pelajaran yang perlu lulus dalam peperiksaan sahaja.

Dalam konteks ini, mutu pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu perlu dinilai supaya boleh menjadi bahasa untuk mengungkapkan ilmu. Dr. Teo mendakwa kurangnya ketegasan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu juga menyebabkan pelajar dan juga guru sendiri tidak begitu mementingkan penggunaan bahasa yang betul dalam mengungkap ilmu.

Masalahnya sekarang kebanyakan kita melihat bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) itu sebagai lambang semata-mata, sama seperti terpacaknya patung. Ini adalah fahaman kolot kerana bahasa kebangsaan mesti digunakan dalam semua bidang.

- Prof. Madya Dr. Teo Kok Seong.[14]

Rujukan

WikiPedia: Polemik_kedudukan_bahasa_Melayu_di_Malaysia http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php... http://ipohmalay.blogspot.com/2009/08/semakin-rama... http://www.selangordaily.com/?p=931 http://hartalmsm.wordpress.com/2010/09/12/balik-ch... http://www.youtube.com/watch?v=JKX6hPMbEIo http://www.youtube.com/watch?v=qI27Vbe1gVk&feature... http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Martaba... http://www.mstar.com.my/variasi/rencana/cerita.asp... http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2009/11... http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt...